Bahasa Arab begitu dekat di hati umat Melayu dan hampir
1,700 patah perkataan Arab telah diterimapakai di dalam bahasa Melayu sejak
awal kedatangan Islam di dunia nusantara. Bahasa Arab sudah sebati dan menjadi
darah daging umat Islam dulu, kini dan selamanya di mana hampir setiap hari
mereka akan mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab tanpa disedari.
Buktinya ialah setiap hari kita diwajibkan bersembahyang yang mana bacaan dan
doa di dalamnya adalah di dalam bahasa Arab manakala kita juga akan mendengar
laungan azan dan iqamat setiap kali tibanya waktu sembahyang yang juga di dalam
bahasa Arab.
Lebih unik lagi bagi umat Islam, perkataan pertama yang
didengar sejurus selepas dilahirkan ke dunia ialah azan dan iqamat yang
menandakan kecintaan kita terhadap bahasa Arab telah diterap sejak masih bayi
lagi. Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati bahawa
selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, tulisan Arab juga
diambil secara keseluruhan dan dijadikan tulisan bahasa Melayu. Ketinggian dan
keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu
bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan
(lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi
iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia serta
menjadi dinamo yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur
sesebuah negara bangsa.
Kitab al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia juga adalah di dalam bahasa Arab
dan seluruh umat Islam digalakkan membaca, memahami, menghafal, mengikuti
segala ajaran dan melaksana serta menterjemahkan segala panduan di dalam
kehidupan seharian. Membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berdailog dan
berkomunikasi dengan Allah s.w.t secara live, satu pengalaman yang amat unik
dan perlu dijadikan amalan harian umat Islam. Realiti ini menjadikan bahasa
Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik,
komprehensif dan membentuk satu anjakan paradigma ke arah menjadi individu yang
versatil dalam menangani suvival semasa umat Islam.
Dengan menguasai bahasa Arab juga akan memudahkan kita
mendalami intipati dan pengertian al-Quran, hadis Rasulullah dan kitab-kitab
muktabar para ulama silam yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab.
Kemahiran bahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di
dalam sembahyang, doa-doa, wirid, zikir dan sebagainya di mana sebahagian besar
umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh tahun mengamalnya
hatta ada yang tidak tahu pengertian doa iftitah dan qunud yang dibaca setiap
hari dalam sembahyang. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab
akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat tidak kreatif, kurang dinamik dan pak
turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak
tua yang bijak berbicara. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan
memahami dan mendalami bahasa al-quran ini sebaik mungkin.
Bahasa Arab adalah bahasa umat Islam dan bahasa syurga.
Dengan jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion orang di seluruh dunia,
membuktikan bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan
muamalah umat Islam secara global. Kebolehan berbahasa Arab membolehkan kita
berkomunikasi dengan saudara seislam di seluruh dunia terutamanya di
negara-negara Arab dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat serta mengikat
silatulrahim sesama umat Islam. Dalam konteks dunia Melayu pula, bahasa Arab
digunakan secara meluas sejak awal kedatangan Islam dan kemuncaknya ialah pada
era kegemilangan Kerajaan Melaka sehinggalah ke hari ini di mana bahasa ini
digunakan di dalam pelbagai aspek dari sudut ekonomi, sosial, politik,
diplomatik hatta di dalam amalan mistik dan jampi serapah pun bahasa Arab
banyak digunakan terutamanya di dalam perubatan tradisional dan alternatif.
Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan
berdaya saing serta mampu menandingi bahasa dunia lain seperti bahasa Inggeris,
Perancis, Rusia dan sebagainya. Nilai ekonomi yang terdapat pada bahasa Arab
membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu bahasa utama dan terpenting di
dunia serta telah menarik ramai orang mempelajarinya. Bagi umat Islam, bahasa
Arab adalah bahasa perpaduan dan penyatuan. Walaupun tidak semua negara Islam
menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, namun begitu bahasa Arab tetap
memainkan peranan penting di dalam sistem pemerintahan negara dan struktur
masyarakat terutamanya di kalangan negara anggota OIC. Melalui medium bahasa
Arab juga negara Islam diseluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan
perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara
yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani segala anasir-anasir negatif
yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Islam.
Inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran
memperkenalkan program J-QAF iaitu sistem pendidikan jawi, al-Quran, bahasa
Arab dan tulisan Jawi secara yang lebih efektif di sekolah-sekolah rendah mampu
memperkasakan penguasaan dan kemahiran bahasa Arab di kalangan rakyat Malaysia,
di samping program bahasa Arab yang turut disediakan di peringkat sekolah
menengah dan yang lebih tinggi hampir semua institusi pengajian tinggi di
seluruh negara adalah momentum positif kepada bahasa syurga ini. Pemikir Islam
terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat sepuluhnya yang
berbunyi " Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang
betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam".
No comments:
Post a Comment